June 24, 2009

Tentang Kawan

Kita punya ramai kawan. Tapi berapa ramai di antara mereka yang benar-benar kawan? Kata orang, proses mencari dan mendapatkan kawan itu memakan masa yang lama. Tapi yang sangat payah apabila kita sudah bertemu dengan kawan kita itu, tetapi mereka terpaksa pergi. Kata orang, kawan itu boleh bertukar-tukar. Tidak semestinya kawan di tempat lama akan tetap jadi kawan bila kita di tempat yang baru. Tapi bagi diri saya, amat susah untuk saya tinggalkan yang lama demi sesuatu yang baru.

Kali ini, saya ingin menulis tentang salah seorang kawan saya. Terus-terang, saya tidak mengingati sangat bagaimana saya boleh berkawan dengan dia dan terus menjadi rapat sehingga sekarang. Yang pasti, sebelum saya berkawan dengannya, saya ada mendengar cerita bahawa dia ialah seorang yang agak sombong dan memilih kawan. Saya tidak mempercayai cerita itu kerana bagi saya itu adalah cakap-cakap kosong.

Apa yang menarik tentang kawan saya ini adalah sikapnya yang bersungguh-sungguh. Pada awal perkenalan saya dengannya, dia jarang ke kelas. Keputusan peperiksaannya juga tidaklah bagus. Entah dari mana timbul kesedaran apabila tiba-tiba sahaja dia mula bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Dia mula rajin datang ke kelas. Saya dapat lihat di dalam dirinya satu semangat yang kuat. Magiknya, keputusan peperiksaannya menunjukkan peningkatan yang baik. Ini yang saya kagum. Dia tidak pernah kenal putus asa sehinggakan saya sendiri mula tercabar dengannya. Mungkin dari segi keputusan, saya menang. Tetapi dari segi usaha, dia patut dipuji.

Satu hari tidak sah tanpa mendengar gelak tawanya. Kalau dia gembira, saya juga begitu. Ada kalanya dari raut wajahnya, saya tahu dia sedih dan tertekan. Kalau dia jadi begitu, saya merasa bingung dan tertanya-tanya. Tetapi saya tidak berani untuk bertanyakan punca masalahnya kerana saya rasa saya tidak ada hak untuk itu.

Apabila dia mengatakan bahawa dia ingin sangat sambung belajar di tempat lain, saya rasa seolah-olah saya akan kehilangan kawan yang selama ini saya cari. Sebagai kawan, saya tidak boleh mementingkan diri sendiri atau menghalang dia dari berbuat sedemikian. Oleh itu, saya doakan dia supaya hajatnya tercapai dan dia sentiasa berjaya.

Dia punya kawan yang ramai. Ada masanya saya rasa sedikit cemburu apabila dia rapat dengan mereka. Tetapi itu hak dia untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Saya mengaku, saya sendiri terlalu mementingkan kawan saya ini sehingga saya lupa dengan kawan saya yang pernah bersekolah sama dengan saya. Pernah terjadi apabila kami terserempak di suatu tempat. Kami hanya duduk bersebelahan sahaja. Saya dengan kawan sekolah saya itu, dan dia dengan saudaranya. Saya betul-betul bingung dan dalam dilema. Saya mahu menegur kawan saya itu tetapi saya takut kawan sekolah saya akan rasa tersisih atau cemburu dengan kerapatan saya dan dia.

Masa itu berlalu dengan cepat sekali. Saya sangat merindui saat-saat saya, dia dan kawan-kawan yang lain ketika bersama-sama. Kalau boleh, mahu sahaja saya putar kembali waktu dahulu, tetapi dengan sedikit perubahan. Saya mahu mengenalinya dengan lebih awal lagi dan tidak ada perselisihan faham yang berlaku antara kami semua. Tapi, itu mustahil. Sangat mustahil.

Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan. Tidak ada yang sempurna. Kadang-kadang kita telah mengguris perasaan kawan kita tetapi kita tidak tahu. Mereka menangis tetapi kita tidak tahu. Mereka mendoakan kita tetapi kita tidak tahu. Kepada kawan saya itu, terima kasih kerana menjadi kawan yang baik. Saya memohon maaf jika saya ada melakukan sesuatu yang menyakitkan hati kamu. Jangan risau, kamu tidak pernah menyakitkan hati saya. Jikalau ada, sudah lama saya maafkan. Thanks a lot my dear friend!

2 comments:

mrberett said...

sahabat terlalu sukar untuk kita temui sekarang ini...

sekali bertemu jangan pernah abaikan...

salam perkenalan dari saya

squesha said...

mrberret,
yup.mmg sukar utk kita temui dan mmg sukar utk kita lepaskan.hargailah & terimalah kwn seadanya.terima kasih.salam perkenalan dari saya jg.