October 13, 2011

Karate - Satu Ingatan

Sejak akhir-akhir ini singgah perasaan rindu saya kepada karate-do. Penglibatan saya terhenti di tali pinggang purple brown sahaja. Hanya beberapa tangga lagi untuk memegang black belt. Jangan terkejut kerana itulah reaksi sesetengah orang apabila saya memberitahu bahawa susuk tubuh badan yang kecil ini adalah seorang karatekas. Malah saya pernah mewakili sekolah sebanyak dua kali untuk pertandingan sparring. 

Saya mula berkecimpung dalam karate (shotokan) sejak Darjah 2 lagi. Saya berminat bukan kerana ingin mempelajari cara mempertahankan diri, tapi kerana seni yang terdapat di dalam setiap pergerakannya. Saya percaya walaupun kita memegang tali pinggang yang paling senior sekali pun, kalau musuh punya senjata yang lebih kuat, kita bakal tewas. Dalam karate inilah saya belajar untuk menghormati disiplin, persahabatan dan juga masa. Bayangkan, training di sekolah rendah ketika itu bermula jam 6 petang sedangkan waktu sekolah tamat jam 5.45 petang. Saya tidak balik kerumah sebaliknya saya segera menyarungkan karategi dan merehatkan diri sekadar dua tiga minit. Memang penat kerana pergi ke sekolah seawal jam 11 pagi dan balik rumah selewat jam 7.30 malam. 

Kami berlatih tidak mengira tempat - kantin sekolah, padang sekolah, basketball court dan juga jalan raya! Itupun berkaki ayam! Sudah lah kaki bermuscle, tidak ayu pula tu. Haha. Sepanjang mengikuti karate, saya tidak pernah mengalami kecederaan besar, hanya 'kecederaan' biasa di tapak kaki, dan 'kecederaan' sementara ketika mengikuti sparring. Saya ingat lagi semasa pemilihan untuk pertandingan sparring a.k.a kumite, saya telah ditipu oleh seorang kawan. Dia meminta saya untuk tidak menyerangnya kerana dia sedang sakit perut yang kuat. Kerana masih mentah ketika itu, saya hanya menurut dan tidak bersungguh-sungguh ketika berhadapan dengannya untuk dipilih ke pertandingan. Ya, dia menang dan terpilih. Saya pula dijadikan sebagai pemain simpanan kalau-kalau terjadi sesuatu kepadanya sebelum pertandingan. Sejak itu saya sedar kata-kata "trust no one" ada betulnya. Tahun seterusnya saya berjaya menyertai pertandingan. Walaupun tidak menang, tapi pengalaman menyertai sudah cukup bagus.

Apabila di sekolah menengah, saya jarang menyertai upgrading test kerana saya tidak bersetuju dengan cara sensei saya. Sensei terbaik saya ialah Sensei Patrick, beliau sudah meninggal dunia tapi apa yang diajarnya masih lekat dalam ingatan saya. Saya hanya aktif menyertai kawan-kawan melakukan demonstrasi untuk gema merdeka dan sebagainya. Itupun kerana saya ingin mengelak dari disuruh ikut kawad. Haha. Tapi ini pun memang pengalaman yang manis kerana saya bukan sahaja bergaul rapat dengan kawan sekarate tapi juga kawan-kawan dari silat dan taekwando. Kami akan berlatih bersama-sama, dan beramai-ramai. Saya paling respek dengan Abang Daud, dia memang pakar dalam martial arts. 

Training kami ni memang ala askar juga. Lari 20 pusingan memang aktiviti utama. Saya diantara yang paling belakang kerana saya cepat semput - salahkan asthma, bukannya tiada stamina. Haha. Dan setiap kali kami dijadualkan untuk membuat persembahan, mesti di kala matahari sedang panas melampau - memang azab buat kami kerana kami tidak boleh memakai kasut dan mattress yang kami gunakan memang menyerap haba. Kami terpaksa melompat-lompat dan berpura-pura tidak kepanasan. Saya awal-awal lagi sudah bersiap siaga dengan memakai bandage di tapak kaki, supaya kesan panas dapat dikurangkan. Kah kah kah.

Sebenarnya, rasa rindu ini pula menebal bila akhir-akhir ini di Tv ada menayangkan mengenai shorinji kempo, capoeira dan sebagainya. Saya betul-betul mengharapkan saya dapat memegang tali pinggang hitam karate-do dan mencuba seni lain pula. Puas rasanya bila kita sudah berjaya accomplish satu perkara. 

Saya datang dengan tangan kosong, tanpa senjata.
Jika saya terpaksa mempertahankan diri saya, maruah saya, keluarga saya atau pegangan saya, 
Inilah senjata saya, karate - tangan kosong!