June 30, 2009

Seven Pounds


Pernahkah anda menonton Seven Pounds? Hari ini, saya berkesempatan untuk menontonnya. Sebenarnya cerita ini sudah lama ditayangkan di panggung wayang, iaitu pada sekitar awal tahun ini. Dalam cerita ini, Tim Thomas (Will Smith) terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa 7 orang termasuk isterinya sendiri. Dia merasa sangat tertekan dan berdosa kerana kemalangan itu berlaku gara-gara kelalaiannya menggunakan telefon bimbit. Lalu Tim mengambil keputusan untuk memberikan 'kehidupan' yang baru kepada 7 orang sebagai ganti 7 nyawa yang maut kerananya.

Tim mencuri kad identiti adiknya, Ben Thomas, yang bekerja di Internal Revenue Service (IRS). Dia mahu mendapatkan maklumat 7 orang yang layak menerima pertolongannya itu. Tim menghulurkan pertolongan dengan menderma organ dan menghadiahkan rumah tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dia juga jatuh cinta kepada Emily Posa, salah seorang penama dalam senarai yang mahu dibantunya. Diakhir cerita, Tim mati kerana membunuh diri. Cerita ini tidak laku sangat dipasaran U.S.A mungkin kerana jalan ceritanya yang agak lambat dan merapu. Tetapi, pada pendapat saya, cerita ini sangat bagus dan memerlukan konsentrasi yang mendalam. Terus-terang, saya berasa sedih dan terharu ketika menonton cerita ini. Macam-macam pengajaran yang boleh kita peroleh dari cerita ini.
  1. Hargailah sesiapa sahaja. Keluarga, kawan, guru atau mungkin kucing peliharaan anda. Luangkanlah masa yang lebih bersama-sama mereka.
  2. Hulurkanlah pertolongan yang mampu dilakukan dengan ikhlas dan rendah diri. Kita akan menjadi senang hati apabila orang yang kita bantu itu berasa gembira.
  3. Jangan pentingkan diri sendiri. Fikir perasaan orang lain. Adakah keputusan kita itu akan membantu atau membantutkan?
  4. Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Oleh itu, jangan berputus asa. Percaya pada diri sendiri.

No comments: