August 29, 2011

Selamat Hari Raya

Kadang-kadang saya rasa ucapan selamat hari raya maaf zahir batin ni klise, hanya di bibir dan bukan dari hati. Tapi semuanya terpulang kepada orang yang mengucapkannya. Hari ini saya merendahkan diri dan merendahkan hati ingin memohon maaf kepada mana-mana orang perseorangan. Kalau boleh mahu saja saya jadi seperti Earl dalam cerita My Name Is Earl, yang berusaha redeem kesilapannya dengan berbuat baik kepada orang yang pernah disakitinya. Tapi saya tidak mampu melakukan perkara-perkara besar seperti Earl. Saya hanya mampu meminta maaf melalui kata-kata saya ini. Mungkin ada perbuatan saya yang membuatkan anda marah. Saya minta maaf, saya ini masih dalam proses mengenal hidup. Sering saja melakukan kesilapan.

Kalau ada pula yang ingat saya sakit hati dengan anda, jangan risau. Saya ini jenis yang bukan pemarah atau pendendam orangnya. Saya anggap semua itu macam angin yang berlalu sahaja. Masa itu juga lah saya maafkan anda, tiada simpan-simpan dalam hati. Sebagaimana saya kenal anda yang baik hati, itulah juga yang akan kekal sampai bila-bila. Pandangan saya terhadap anda tidak akan berubah sekalipun anda menjauh. Saya harap anda juga begitu. Terima kasih atas segalanya, selamat hari raya dan semoga amalan kita di Ramadhan diterima Tuhan.

Mudah-mudahan kita bertemu lagi

29 Ramadhan 1432h
4.07pm

No comments: