Ya, cerita ini sudah lama. Tapi dua tiga minggu yang lepas baru saya berpeluang untuk menontonnya, dan baru juga hari ini saya ada kesempatan untuk menulis sedikit catatan pendek.
Bagi mereka yang sudah menonton dan menyukai cerita Marley and Me, cerita Hachiko, a Dog's Story adalah filem yang wajib ditonton. Hachiko, a Dog's Story adalah kisah benar yang berlaku di Jepun di mana wujud satu hubungan yang akrab antara seekor anjing bernama Hachiko dan tuannya. Mula-mulanya, Hachiko cumalah seekor anjing yang sesat dan terlepas dari kandangnya di sebuah stesen kereta api. Dia ditemui oleh seorang professor yang telah menjaganya buat sementara waktu sambil menunggu tuan sebenarnya datang menuntut. Lama kelamaan, setelah pertelingkahan kecil antara professor dan isterinya, akhirnya Hachiko mendapat greenlight untuk terus tinggal di rumah mereka.
Setiap hari, menjadi kebiasaan bagi anjing itu untuk menghantar tuannya ke stesen kereta api. Dan setiap hari juga lah, anjing itu akan menunggu tuannya balik dari kerja, di tempat yang sama. Suatu hari, tuannya mati secara mengejut ketika sedang mengajar di universiti. Hachiko terus setia menunggu. Di hari pengkebumian, Hachiko masih lagi menunggu. Anak perempuan professor tersebut, cuba membawanya balik tapi gagal. Hachiko mahu terus berada di stesen itu, menunggu tuannya. Keadaan ini berlanjutan sehingga 9 tahun di mana anjing itu terus menunggu sampailah dia mati.
Kesetiaan Hachiko ini sangat dihormati dan menjadi bualan sehinggakan beberapa tugu dibuat khas untuk memperingatinya. Seperti di Shibuya Station, tempat sebenar dia menunggu tuannya. Mungkin cerita ini nampak biasa-biasa sahaja dan tidak banyak dialog, tapi perjalanan ceritanya mampu bermain dengan emosi kita. Saya sendiri sebak menonton cerita ini, lebih-lebih lagi apabila tamat riwayat Hachiko. Dia terus menunggu seperti tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku dengan tuannya. Kalaupun dia tahu, dia terus menunggu kerana kesetiaan yang kuat. Dia tidak mengharap apa-apa balasan atas penantiannya itu, kerana baginya, ia berbaloi demi sebuah hubungan kasih sayang.
I understand how you feel. Hachi, my friend, Parker is never coming home. But if Hachiko wants to wait, then Hachiko should wait. You want to wait for him, don't you? Have a long life, Hachi.
No comments:
Post a Comment