Saya dilahirkan dalam keluarga yang menghormati kepelbagaian. Bapa saya berketurunan India-Pakistan, manakala ibu saya adalah seorang Sino-Kadazan. Kami bukan sahaja menyambut dua Hari Raya bagi umat Islam, tapi juga meraikan hari besar bagi saudara-mara kami yang menganuti agama Buddha dan Kristian. Ketika Tahun Baru Cina, kami sudah tentu akan menghadiri open house mereka. Limau Mandarin dihidang, dan angpau diberi. Begitu juga apabila 25hb Disember tiba. Pasal makanan dan minuman, kami tidak bimbang kerana mereka sudah maklum akan pantang dan larang kami sebagai Muslim. Dalam keluarga besar kami, bukan keluarga saya sahaja yang Muslim, tapi beberapa keluarga lain juga.
Ketika Hari Raya, mereka akan bertandang ke rumah kami dan saudara-mara lain yang Muslim. Tidak dengan tangan kosong tapi dengan buah tangan sebagai tanda berkongsi kegembiraan menyambut hari besar kami. Begitu jugalah dengan kami, pasti akan membawa sesuatu untuk menunjukkan rasa hormat. Tidak ada prejudis mahupun diskriminasi dikalangan kami. Kami boleh tidur sekatil, makan sepinggan, minum segelas, semeja dengan senang hati. Tidak ada puak-puak. Perkara sebegini andang-andang di Sabah (dan juga Sarawak), tapi mungkin menjadi sesuatu yang unik bagi mereka yang tidak tahu.
Dengan kumpulan etnik, bahasa dan dialek yang berpuluh-puluh, kepelbagaian agama dan budaya tidak pernah membezakan kami. Saya pernah mendengar cerita ada kebimbangan untuk tinggal sebilik dengan orang Sabah/Sarawak yang beragama lain dari mereka. Mereka takut didoktrinkan dengan agama tersebut. Lagi takut apabila melihat rakan sebilik meletakkan Rosemary dan Bible di bawah bantal. Jangan paranoid kerana mereka tidak pernah menimbulkan rasa takut mahupun benci apabila anda membaca al-Quran, meletakkan buku Yassin di bawah bantal anda, ataupun ketika anda menunaikan solat fardhu. Malah, ada yang akan bertanya "Uina, jam berapa sudah ni? Sudah sembahyang ka kau?"!
Kalau anda berjumpa dengan orang Sabah, tanyalah, orang manakah dia. Saya pasti dia akan menjawab "Aku orang Sabah bah", tanpa merujuk kepada bangsa atau keturunannya. Itupun sekiranya disoal dengan lebih lanjut. Selain makanan yang sedap-sedap terutamanya seafood yang fresh, orang Sabah juga tidak sombong dan luki dengan senyuman. Jika mereka ingin lalu di depan anda, mereka akan menyebut "limpas dulu aaa" sebagai tanda hormat mereka. Di sini, setiap daerah atau tempat pasti akan mengadakan tamu sama ada di hari minggu atau hari biasa. Tiap tahun tamu yang dinantikan adalah tamu besar di Kota Belud. Bagi mereka yang mencintai keindahan alam, Sabah adalah jawapan anda. Selain Gunung Kinabalu, ada Tanjung Simpang Mengayau (Tip of Borneo), Maliau Basin, Pulau Sipadan dan macam-macam lagi. Silalah datang ke sini, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Mana tau ada peluang, saya sendiri akan bawa anda bersiar-siar di kotaraya Kota Kinabalu!
andang-andang = memang sudah begini
luki = kedekut
limpas = lalu
p/s: Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu, tinggi lagi sayang sama kamu, biru-biru hujung Kinabalu, tengok dari jauh hati saya rindu. Buli bah kalau kau!
No comments:
Post a Comment