Selamat tinggal 1429H. Selamat tinggal 2008M. Kita tidak akan bertemu lagi kerana sebuah lembaran baru akan dibuka. Sememangnya usia kita semakin bertambah. Semakin itu jugalah kita telah jauh mengorak langkah kita. Tetapi apakah langkah yang telah kita lakukan itu sejajar dengan apa yang telah kita hasratkan? Dan apakah hasrat kita itu benar-benar positif atau tidak? Adakah azam di tahun lepas telah berjaya dipenuhi? Sekiranya belum, kita seharusnya memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah s.w.t kerana diberi peluang untuk terus bernafas di bumi indah ini. Maka dengan peluang itulah kita harus gunakan sebaik-baiknya untuk memperbaiki diri kita. Ini yang disebut di dalam konsep hijrah. Kita berhijrah dari yang tidak baik kepada yang lebih baik. Perubahan kehidupan perlu dilakukan demi mencapai kualiti kehidupan yang lebih baik. Kita harus muhasabah diri tentang apa yang telah kita lakukan pada tahun lepas. Adakah buku amalan kita lebih banyak catatan amalan baik ataupun amalan yang buruk? Semoga kesilapan kita yang lalu diampuni oleh-Nya dan tidak kita ulangi lagi. Sesungguhnya perkara yang telah berlalu, biarlah ianya kemas dalam lipatan sejarah hidup kita. Apa yang kita harapkan agar lembaran yang baru ini memberi keberkatan kepada kita semua dan keimanan kita bertambah dari tahun-tahun yang sebelumnya. Mudah-mudahan kita semua di dalam keredhaan Allah s.w.t, dikurniakan dengan tubuh badan yang sihat dan dilimpahi dengan rezeki yang berlipat ganda. Marilah kita sama-sama membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun. Marilah kita sama-sama berazam untuk menjadi manusia yang lebih berilmu, lebih beriman dan lebih beramal. Oh ya, selamat datang 1430H!
No comments:
Post a Comment