December 28, 2008

Selamat Tinggal 1429H!

Selamat tinggal 1429H. Selamat tinggal 2008M. Kita tidak akan bertemu lagi kerana sebuah lembaran baru akan dibuka. Sememangnya usia kita semakin bertambah. Semakin itu jugalah kita telah jauh mengorak langkah kita. Tetapi apakah langkah yang telah kita lakukan itu sejajar dengan apa yang telah kita hasratkan? Dan apakah hasrat kita itu benar-benar positif atau tidak? Adakah azam di tahun lepas telah berjaya dipenuhi? Sekiranya belum, kita seharusnya memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah s.w.t kerana diberi peluang untuk terus bernafas di bumi indah ini. Maka dengan peluang itulah kita harus gunakan sebaik-baiknya untuk memperbaiki diri kita. Ini yang disebut di dalam konsep hijrah. Kita berhijrah dari yang tidak baik kepada yang lebih baik. Perubahan kehidupan perlu dilakukan demi mencapai kualiti kehidupan yang lebih baik. Kita harus muhasabah diri tentang apa yang telah kita lakukan pada tahun lepas. Adakah buku amalan kita lebih banyak catatan amalan baik ataupun amalan yang buruk? Semoga kesilapan kita yang lalu diampuni oleh-Nya dan tidak kita ulangi lagi. Sesungguhnya perkara yang telah berlalu, biarlah ianya kemas dalam lipatan sejarah hidup kita. Apa yang kita harapkan agar lembaran yang baru ini memberi keberkatan kepada kita semua dan keimanan kita bertambah dari tahun-tahun yang sebelumnya. Mudah-mudahan kita semua di dalam keredhaan Allah s.w.t, dikurniakan dengan tubuh badan yang sihat dan dilimpahi dengan rezeki yang berlipat ganda. Marilah kita sama-sama membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun. Marilah kita sama-sama berazam untuk menjadi manusia yang lebih berilmu, lebih beriman dan lebih beramal. Oh ya, selamat datang 1430H!

December 19, 2008

Zionism (Bahagian I)

Apa itu Zionism? Sebelum kita mengenal apakah sebenarnya Zionism itu, adalah lebih baik sekiranya kita tahu maksud dan asal-usul Yahudi. Yahudi atau nama lain seperti Jew, Jude dan Yahud adalah sebuah bangsa di Israel dan merupakan keturunan Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim mempunyai 2 isteri iaitu Sarah dan Hagar (Hajar). Nabi Ishak juga mempunyai anak iaitu Nabi Yaakub. Mengikut Bible, Nabi Yaakub ialah pengasas kepada Israelites ataupun children of Israel. Nabi Yaakub mempunyai 12 anak dan salah satu daripadanya ialah Judah atau Yahud. Masing-masing berkahwin dan mempunyai bangsa sendiri. Maka terdapat banyak bangsa yang wujud tetapi hanya bangsa dari Judah sahaja yang tinggal. Mereka inilah yang dipanggil Yahudi.

Dikatakan bahawa Nabi Daud meminta agar mereka tinggal di bukit Zion yang terletak di Jerusalem. Mengikut sejarah, orang Yahudi pernah diseksa dan bangsa mereka tersebar ke merata tempat sehinggakan ke negara China ketika holocaust (tetapi di dalam populasi yang kecil). Kebanyakan mereka berada di negara Eropah. Inilah yang disebut sebagai Jewish Diaspora.

Selepas holocaust, British membawa balik ramai Yahudi ke Palestin. Orang Islam menerima mereka dengan baik (Nabi sendiri tidak bermusuh dengan orang Yahudi). Apabila mereka merasa bahawa diri mereka tertindas, mereka memikirkan sebuah idea iaitu membentuk sebuah negara Yahudi dan Palestin menjadi pilihan. Zion adalah istilah untuk memanggil semua orang Yahudi di seluruh dunia agar mereka pulang ke the promised land.

Zionism
mempunyai beberapa jenis seperti liberal, nationalism dan religious. Tetapi semuanya sama sahaja kerana mereka berpaksikan kepada satu matlamat iaitu membentuk negara Yahudi. Ada di antara orang Yahudi sendiri iaitu Orthodox Jew yang membenci Israel. Mereka mengatakan bahawa Israel mencuri rumah orang lain yang telah ditegah di dalam Kitab Taurat dan merasakan bahawa ianya memperlambatkan Jewish Messiah.

~credit to Muthannah Marawan

December 7, 2008

Aidiladha Untuk Semua

Esok 10 Zulhijjah 1429. Umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Qurban ataupun Hari Raya Haji dan bulan Zulhijjah merupakan bulan terakhir di dalam kalendar Islam. Setiap tahun, umat Islam akan menuju ke Mekah untuk menunaikan haji, salah satu daripada lima Rukun Islam. Ia adalah simbol perpaduan ummah apabila mereka berhimpun di tanah suci itu. Aidiladha juga adalah tanda pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail menuruti perintah Allah s.w.t.

Maka dengan itu, ketika Aidiladha, haiwan seperti kambing dan lembu disembelih mengikut syara' agama. Satu pertiga dari daging itu akan diberikan kepada orang yang melakukan ibadah korban itu sendiri manakala yang selebihnya diagih-agihkan untuk fakir miskin dan mana-mana yang layak diberikan. Ibadah korban ini hanya wajib dilakukan kepada mereka yang berkemampuan. Ianya adalah sebagai satu cara penyucian jiwa.

Ramai yang beranggapan bahawa Hari Raya Aidiladha adalah untuk diraikan oleh mereka yang menunaikan haji sahaja. Sebenarnya, Aidiladha adalah untuk semua. Ini kerana Aidiladha berkisarkan pengorbanan dan pengorbanan itu perlu bagi kita. Sebagai contoh, kita seharusnya mengorbankan harta kita ke jalan Allah. Ibadah korban mencerminkan sifat ihsan yang sememangnya dituntut dalam Islam. Selain itu, kita juga sewajarnya menziarahi sanak-saudara dan kenalan untuk mengeratkan lagi ukhwah dan ikatan persaudaraan. Sudah tiba masanya untuk kita melakukan pengisian demi memperoleh keredhaan Allah s.w.t. Semoga Aidiladha kali ini memberi pengertian kepada kita semua. Salam Aidiladha!

December 1, 2008

Friendster Oh Friendster...

Tiap hari seperti biasa pasti akan saya buka laman web Friendster, ingin melihat kalau-kalau ada message atau comment daripada kawan-kawan. Ada beberapa orang yang melihat profile saya. Ada yang saya kenal, tetapi ada juga yang tidak saya kenal. Kerana ingin tahu gerangan yang tidak saya kenali itu, saya cuba view profile-nya. Saya tidak melihat pada gambar-gambar, sebaliknya membaca comment yang diberi oleh rakan-rakannya. Saya terus membaca satu demi satu comment yang diberi sehingga membuatkan saya terkejut dengan orang ini. Terdapat beberapa album yang diletakkan. Gambar-gambar awal pada album pertama nampak biasa sahaja, tetapi apabila saya terus melihat gambar yang seterusnya, saya hanya mampu mengucap Astaghfirullahulazim.

Kenapa saya berbuat sebegitu? Ini kerana gambar-gambar yang ditunjukkan cukup menjelikkan. Si perempuan berdua-duaan dengan lelaki berlatar belakangkan bilik hotel. Yang dipakai oleh si perempuan hanyalah tuala. Kemudian, gambar-gambar di dalam album kedua membuatkan saya berasa simpati akan nasib malang perempuan ini. Saya tidak ingin ceritakan apa yang terkandung dalam album kedua itu. Bagi saya, perempuan ini tidak kenal erti malu. Mungkin dia ingin memberitahu dunia bahawa dialah yang paling cantik, dialah yang mampu menawan hati para jejaka dan dialah perempuan yang sangat-sangat berani mendedahkan tubuhnya itu. Entah apa yang difikirkannya sehingga sanggup melakukan seperti itu. Sebagai seorang Muslim, saya cukup-cukup malu dengan perbuatan itu. Suatu petunjuk bahawa perempuan itu bagaikan tiada maruah dan harga diri. Dari comment-comment yang saya baca, perempuan ini memang nyata seorang Muslim. Apakah motif sebenar yang cuba disampaikan perempuan ini? Untuk pengetahuan, this is a public profile. Maka bererti, sesiapa sahaja boleh view profile perempuan ini! Benarlah, ini salah satu keburukan Friendster dan laman web seumpamanya. Sepatutnya kita jadikan Friendster sebagai ruang untuk mengeratkan ukhwah sesama insan, bukannya mendedahkan diri sedemikian rupa!