Sejak akhir-akhir ini, beberapa perkara membuatkan saya berfikir. Betapa cepatnya masa berlalu. Sangat pantas. Hari itu, kita berpuasa. Sekarang, kita di bulan Syawal. Esok, kita sudah di bulan yang lain pula. Terus terang, saya menjadi takut. Takut kalau saya gagal menggunakan kesempatan yang diberi oleh Tuhan. Saya manusia yang sangat-sangat lemah lagi tidak berdaya. Semakin lama saya berfikir, saya dapat rasakan bahawa hari itu akan tiba. Saya takut kalau peluang itu akan tertutup selama-lamanya.
Ketakutan saya itu bertambah apabila sejak kebelakangan ini juga, pelbagai bencana menimpa negara-negara lain. Dulu, ketika saya belajar Geografi, cikgu meyakinkan murid-muridnya bahawa Malaysia sangat bernasib baik kerana terlindung dari bencana. Sekarang, saya sedar. Tidak ada apa-apa yang selamat kerana kerana kalimat Tuhan "Kun Fayakun! Jadi, maka jadilah!". Apa-apa boleh berlaku kerana Allah s.w.t itu maha berkuasa.
Benarlah, masa itu emas. Dalam sehari, kita ada 24 jam. Adakah setiap saat kita itu, kita menggunakan masa dengan sebaik-baiknya? Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan melakukan amal soleh. Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.
Atau mungkinkah ini cuma sekadar perasaan saya sahaja?