May 15, 2009

Terima Kasih Cikgu!

Cikgu Amin
Cikgu Amin seperti mentor saya. Beliau meyakinkan saya untuk menyertai beberapa pertandingan seperti bahas ala parlimen dan deklamasi puisi. Atas dorongan inilah saya menjadi lebih berani untuk bercakap di depan ramai orang. Kerana saya terlalu kerap mengikuti pertandingan-pertandingan ini, nama Sharifah Nursyahidah tidak lagi asing. Malahan saya acapkali diminta untuk menyertai pertandingan syarahan agama dan mendeklamasi puisi untuk majlis-majlis penting sekolah. Cara beliau mengajar, cukup saya kagumi. Beliau tidaklah garang, cuma agak tegas. Beliau ialah favourite teacher saya. Sayangnya, saya hanya berkesempatan untuk menjadi muridnya untuk 2 tahun sahaja kerana pada tahun 2003, beliau berpindah ke Semenanjung.

Ustaz Sanusi
Ustaz Sanusi mengajar saya mata pelajaran bahasa Arab. Beliau menganggap saya, Masyitah, Fazarina, Qurratuaini, Akalil dan Yusri macam anak sendiri. Ketika waktu rehat, ada sahaja yang dibelanja oleh Ustaz Sanusi. Beliau sering berpesan agar kami menjaga tatatertib kami sebagai Muslim dan Muslimah. Suka menyindir tapi kami faham, sindiran beliau itu ada maksud yang tersirat. Ustaz ini juga tidak lama di sekolah saya. Berpindah pada penghujung tahun 2003.

Cikgu Muhammad
Siapa yang tidak kenal Cikgu Muhammad? Antara guru yang paling digeruni kerana sikapnya yang sangat garang dan agak panas baran. Sewaktu saya di Tingkatan 4, terdapat suatu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan sampai sekarang. Pada suatu hari, Akalil (ketua kelas), tidak hadir kerana mengikuti MTQ. Saya menggantikannya. Ketika Cikgu Muhammad memasuki kelas, saya berdiri dan mengarahkan kelas untuk turut berdiri. "Selamat Pagi Cikgu!" Entah di mana silapnya apabila tidak semena-mena, Cikgu Muhammad tiba-tiba mengamuk. Beliau menyuruh kami berdiri selama 40 minit. Habis sahaja 40 minit itu, beliau keluar terus dari kelas. Saya mengikuti beliau dari belakang kerana saya perlu menghantar buku-buku latihan untuk kerja rumah yang diberinya sebelum ini. Sewaktu saya bersama-sama beliau di bilik guru, saya diberi brainwash. Tapi, peristiwa ini, tidak menyebabkan saya benci kepada beliau. Malah, ada hikmahnya. Selepas kejadian ini, saya cuba untuk mendekati beliau. Saya menjadi favourite student beliau dan sering mendapat A untuk ujian, kuiz dan latihan yang diberinya. Alhamdulillah, untuk SPM, saya turut berjaya memperoleh A untuk subjek Sejarah yang diajar beliau ini.

Ustaz Zulkifli
Ustaz yang paling sporting. Ketika mengajar, beliau akan memberi ruang kepada pelajar-pelajarnya untuk menunaikan solat. Ada masanya saya akan menemui beliau untuk bertanyakan beberapa perkara seperti Iskandar Zulkarnain, Yakjuj dan Makjuj dan lain-lain lagi. Ketika saya menjadi DJ Radio untuk sekolah saya, saya lalai dalam tugas saya sebenar sebagai seorang Muslim. Ustaz Zulkifli menasihati saya bahawa apa sahaja yang kita lakukan haruslah disertai dengan dakwah kerana itu adalah kewajipan kita.

Cikgu Fikri
Cikgu yang paling lembut ketika mengajar. Tidak pernah marah dan suka senyum. Guru kelas kami dan mengajar Teknologi Maklumat. Saya betul-betul suka dengan cikgu ini. Beliau menghargai apa sahaja yang dilakukan oleh pelajarnya. Ketika beliau mengumumkan untuk berpindah, saya selaku penolong ketua kelas meminta rakan-rakan lain untuk mengumpul duit. Mahu beli hadiah sebagai tanda terima kasih kami kepadanya. Saya dan Athifah pergi membeli hadiah itu. Neck tie biru menjadi pilihan kami. Cikgu Fikri suka dengan hadiah kami. Setiap hari sebelum hari-hari terakhir beliau di sekolah, beliau mesti memakai tali leher itu. Sudah tentu kami sangat gembira kerana beliau benar-benar menghargai hadiah kami.

TERIMA KASIH CIKGU!
SAYA BANGGA MENJADI ANAK DIDIK CIKGU!

4 comments:

Nurul Khairunie said...

salam.
singgah di sini.

squesha said...

hehe.thx sbb singgah.

Ashraf Fareeq said...

sy msg ex cikgu kelas memandu sy time hari guru aitu..
ahaks..

squesha said...

ahaha.betul2.cikgu kelas memandu pn kena wish gak.afterall,dia seorang guru jg kan? hehe =)