January 27, 2012

January 17, 2012

2011

Seriously, tiap kali tiba penghujung tahun, mesti akan sayu hati dan melayan emosi yang jauh. Memang semua ini cuma tarikh, hari, bulan dan tahun. Tapi ini juga tanda umur sudah semakin tua. Kalau dulu semasa belajar apa yang ada dalam fikiran cuma habiskan belajar dengan keputusan yang cemerlang. Tapi sekarang ternyata fikiran itu jadi lebih luas. Kena fikirkan fasa-fasa yang seterusnya lagi. 

Tidak ada apa-apa yang extraordinary di tahun ini. Cumanya bergelar graduan dengan kelas pertama - itu sudah cukup baik buat saya. Tapi keadaan sebagai penganggur separuh masa (separuh masa kerana selebihnya mengajar sambilan) kadang-kadang memberi tekanan juga. Tidak apalah, saya pegang pada sesuatu - Tuhan ada aturkan rezeki kita, soalnya cuma cepat atau lambat. Kalau tidak dapat sesuatu pekerjaan, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. 

Tahun ini sudah ramai kawan yang menjadi tunangan dan suami/isteri orang. Yang dekat saya pergi, yang jauh saya hanya mampu mengirim doa. Kecewa bila tidak dapat menghadiri kerana keadaan kewangan yang tidak membenarkan. Yang lucunya bila dua cinta monyet saya di sekolah dahulu bertunang dan berkahwin pada hari yang sama. Haha. Semoga semua kawan saya ini bahagia sampai ke akhir hayat. Amin. 

Seingat-ingat saya, saya tidak pernah memasang azam untuk tahun baru. Tapi untuk hari esok dan 365 hari yang seterusnya (Tahun 2012 adalah tahun lompat, jadi mempunyai 366 hari), saya berazam untuk selesaikan hutang PTPTN dengan apa juga cara sekalipun. Maksudnya, saya akan bekerja lebih keras untuk mengumpul wang demi membayar hutang dan untuk masa depan. Memandangkan harga hartanah dan rumah semakin tinggi, wajib untuk kita menyediakan simpanan dari awal lagi.

Entri ini sebenarnya saya tulis dan simpan pada hujung tahun 2011 tapi kerana kekangan masa, baru hari ini saya dapat publish kan. Harap-harapnya tahun ini saya dan kita semua akan menjadi lebih baik.

December 11, 2011

Antara Pengajar & Pelajar

Alhamdulillah, masuk minggu ini sudah minggu ketiga saya mengajar secara sambilan di sekolah saya. Walaupun hanya sambilan, tapi tugas itu saya pegang dengan sebaik-baiknya. Kerja itu kan ibadah. Tanggungjawab sebagai guru juga berlainan jika dibandingkan dengan kerja pejabat. Guru harus memastikan anak muridnya faham akan apa yang disampaikan. Kalau tidak faham, mungkin guru itu sudah gagal. Kerja pejabat pula harus menyiapkan kerja-kerja dokumentasi dan sebagainya. Nah, beza kan?

Semuanya berjalan lancar, tapi dalam hati sentiasa ada perasaan takut kalau-kalau apa yang diajarkan itu salah. Hasilnya pelajar itu akan sesat sampai bila-bila. Makanya saya meminta mereka untuk turut memberi komitment sebagai pelajar. Jangan semata-mata harapkan guru. Kalau apa yang disampaikan itu salah atau tidak menarik, berikan pembuktian. Masing-masing akan belajar sesuatu darinya. Syukur mereka menerima ajaran saya dengan tenang hati, malah ada yang membuat saya terharu - setiap kali selesai kelas, mereka akan menyalam dan mencium tangan saya.

Pengajaran saya tidak hanya mengenai subjek ilmiah, tapi juga meliputi hal-hal kehidupan. Saya meminta mereka untuk add facebook saya, bagi memudahkan sebarang pertanyaan. Ternyata mereka tidak segan untuk bersembang dengan saya dan menanyakan pendapat tentang apa yang menjadi fikiran mereka selama ini. Hubungan kami bukan sahaja di antara pengajar dan pelajar, tetapi juga kakak dan adik, serta kawan.

Sungguhpun begitu menarik pengalaman saya, ini hanya lah sementara. Saya masih mencari pekerjaan yang tetap, pekerjaan yang membawa saya ke seberang sana. Itu janji saya. Soalnya cuma cepat atau lambat sahaja. Kalau tidak pun, pekerjaan sebagai home development executive juga saya terima. Haha. Usah risau ya?