September 23, 2011

Aku Penganggur

Saya masih lagi bergelar penganggur, atau bahasa positivismenya - freelancer. Sudah 4 bulan terdampar di rumah. Semakin hari semakin tekanan. Sebagai graduan yang tamat dengan keputusan yang boleh dikatakan cukup baik, tekanan itu saya kira lebih dari orang lain. Saya takut kalau ada yang memandang sinis dengan mengatakan bahawa saya memilih kerja, atau saya tidak punya communication skill yang bagus - itu yang sering ditulis di media tentang punca pengangguran di negara ini. Ataupun saya hanya bagus di kertas peperiksaan sahaja. Saya langsung tidak memilih kerja, malah saya ada memohon jawatan biasa yang tidak setimpal dengan lulusan saya. Itupun tidak berjaya. Jawapannya saya cukup bagus untuk jawatan itu. Mereka takut kalau saya mendapat offer yang lebih baik, saya akan berhenti. Dan akibatnya mereka terpaksa mengiklankan lagi, suatu yang harus dielak jika mereka mengambil kira kos. Saya juga pernah dipuji ketika interview kerana cara berkomunikasi saya.

Sedia maklum, jawatan kosong kerajaan juga telah dibekukan sehingga Ogos. Yang terbaru saya dengar ianya telah dilanjutkan lagi. Maka graduan-graduan di seluruh Malaysia terpaksa fokus kepada sektor swasta. Satu persaingan yang hebat di antara satu sama yang lain (fresh graduate) dan juga yang sudah mempunyai pengalaman bekerja bertahun-tahun. Memang ada jawatan kosong kerajaan, agensi dan GLC yang diiklankan, malangnya berdasarkan pemerhatian saya semuanya hanyalah kontrak. Saya tidak tahu kenapa, tapi seperti tanda kerajaan sudah kesuntukan wang. Bagi pencari kerja, ini sesuatu yang harus difikir-fikir kerana sudah tentu kami mahukan job security. Jika kontrak habis, tiada jaminan ianya akan disambung semula.

Betul lah, terlampau ramai graduan tetapi job market tiada. Ini sebenarnya punca pengangguran yang utama. Lebih-lebih lagi yang berada di tempat bukan tumpuan seperti di Sabah. Memang rasa kepayahan mencari kerja. Untuk berhijrah ke kotaraya (baca: Kuala Lumpur) peluang pun mungkin tipis kerana disana pun sudah ramai pencari kerja yang senasib. Kawan saya sendiri yang sedang berada di sana masih belum mendapat pekerjaan. Do not seek job, but create job. Atau bahasa mudahnya buat business. Macam mana kalau modal pun tiada. Kalau mau memohon dengan sebarang pinjaman, suatu yang harus difikir-fikir kerana pinjaman PTPTN pun belum lepas, inikan lagi pinjaman perniagaan. Memang suatu yang payah bila hidup kita ini bekerja untuk membayar hutang dan bil. Sebab itu last resort bagi pencari kerja adalah mencari cable atau orang dalam. Ada dua tiga kawan saya sudah berjaya mendapat kerja dengan cara ini walaupun sepertinya ada yang lebih baik dari mereka. Saya pernah bercakap dengan seorang kenalan mengenai ini dan dia berpesan supaya bersabar dan berusaha sendiri. Jangan sampai mengambil hak orang lain. Saya setuju, tapi ekonomi pencari kerja tidak boleh terus menunggu. Saya pun kalau boleh mahu mengelak dari last resort ini kerana dua kakak saya mendapat kerja yang bagus tanpa bantuan orang lain. Suatu yang memalukan kalau saya memecah tradisi ini. Tapi itu lah, saya berharap nasib saya akan bertambah baik, kalau tidak mungkin saya akan akur kepada Plan B atau Plan C.

Ya, semoga Tuhan mengurniakan rezeki kepada kita pencari kerja. Tolong doakan saya. Terima kasih.

p/s: Kalau ada yang mahu menawarkan kerja, boleh lah tinggalkan e-mail di ruangan komen. Nanti saya hantar resume. Confirm dapat kan? kah kah kah.

September 18, 2011

ISA- Optimistik dan Pesimistik

Bila saya membaca akhbar mengenai #NajibsAnnouncement yang akan disiarkan secara live, saya jadi teruja. Bukan teruja dengan apa yang akan disampaikan, tapi teruja dengan feedback dan komen yang bakal diberi oleh pihak tertentu - dari orang ramai, media, penganalis politik sehinggalah ahli politik itu sendiri. Ini kerana pandangan mereka ada yang bernas, tapi ada juga yang sekadar membodek. Waktu ini lah saya akan ketawa kah kah kah. Bayangkan, dahulu bila ada tentangan terhadap ISA, mereka mengatakan bahawa akta ini sangat relevan. Tapi bila akta ini diisytiharkan pemansuhannya, mereka juga lah yang mengatakan bahawa akta ini tidak lagi relevan. Cuma satu persoalan saya, adakah rancangan pemansuhan ini sudah dibahaskan di peringkat parlimen? Atau baru bakal dibincangkan? Kalau najib sudah memberi keputusan tanpa bawa isu ini ke parlimen - ini nampaknya satu tanda kepada kita.

Saya sudah dapat merasakan ada sesuatu yang besar harus dilakukan segera oleh najib jika mereka mahu terus mendapatkan kepercayaan dan persetujuan rakyat. Berdasarkan situasi sekarang yang tegang dengan isu pensejarahan dan komunis, tindakan memansuhkan ISA adalah satu langkah yang 'signifikan' bagi najib. Bagi saya, ini satu bentuk public relations untuk memenangi hati rakyat. Pasti ramai yang akan menganggap najib sebagai seorang pemimpin yang berani, pasti ramai yang akan salute kepada beliau. Ini kerana para perdana menteri yang terdahulu belum pernah berbuat sedemikian. Lalu najib akan dilihat sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang sanggup melakukan apa sahaja transformasi demi kepentingan negara. Nah, lihat saja, ada sudah yang menggelar beliau sebagai Bapa Transformasi. Beliau juga sudah turun ke Konsert Suara Kami untuk menunjukkan coolness beliau kepada anak-anak muda. Sebagai pengamal perhubungan awam, ini satu benda yang wajib. Tapi sebagai rakyat marhen seperti saya, imej yang positif akan datang dengan sendirinya kalau pemimpin benar-benar mementingkan rakyat. Ada baiknya kalau najib dan barisannya mencari solusi kepada masalah pengangguran anak-anak muda sekarang. Saya tidak menentang sebarang bentuk konsert (kecuali konsert Justin Bieber dan seumpamanya) kerana itulah cara manusia untuk berhibur, tapi kita semua harus maklum bahawa semakin banyak graduan yang keluar dari universiti, tapi hanya mampu duduk di rumah kerana tiada pekerjaan.

Najib juga ada memberitahu tentang dua akta baru bagi menggantikan ISA. Ada juga akta yang berkaitan dengan pengganas. Suatu yang malang jika akta baru ini sama sahaja modus operandinya dengan ISA cuma ditukarkan nama dan disedapkan bunyinya sahaja. Saya hairan kenapa sejak kebelakangan ini tv3 menyiarkan segmen esklusif tentang kejadian pengganas di Bali dan sebagainya. Saya ingatkan ulang tahun kepada peristiwa ini tapi saya silap. Ini sebenarnya satu langkah untuk mengolah persetujuan rakyat tentang bahayanya pengganas dan eureka! kerajaan telah berusaha melindungi rakyat dengan menampilkan akta baru. Satu lagi, perkataan 'pengganas' lebih dangerous bunyinya. Maka orang ramai wajib hati-hati dengan sesiapa yang ada potential untuk jadi 'pengganas' - ini yang mungkin sedang didoktrinkan oleh mereka. Sebagai pengamal body language, bahasa tubuh badan najib menunjukkan sesuatu yang aneh. Tapi sebagai rakyat marhaen seperti saya, bahasa tubuh badan tidak penting, yang penting action. Yang penting walk the talk. Kalau betul najib serius dengan agenda negara, silakan.

Ada yang melihat langkah najib untuk memansuhkan ISA ini kerana takut kalau-kalau beliau kalah dalam pilihanraya, nanti anwar pula akan menyumbat beliau terus ke kem tahanan. Saya bukan pro anwar mahupun anti najib, tapi saya kira anwar tidak akan sebodoh itu. Ini akan memberi bad image kepadanya. Anwar harus mengekalkan imej positif beliau ketika itu dan menggunakan konsep bicara. Dan kalau anwar menang, beliau sudah pasti akan bergembira duduk di kerusinya dan meneruskan agenda politiknya yang lain.

Apa-apapun analisa kita tentang pemansuhan ISA - sama ada optimistik ataupun pesimistik, ada satu tanda yang pasti, kita akan mengundi tidak lama lagi. 

Mohon pencerahan.

September 16, 2011

54 atau 48?

Malaysia tidak lahir pada tahun 1957, hanya Tanah Melayu sahaja yang merdeka ketika itu. Sabah dan Sarawak masing-masing mendapatkan kemerdekaan pada tahun 1963, dan selepas itu baru lah Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia pada 16 September 1963. Bagi saya, ini lah kemerdekaan yang sebenar bagi negara Malaysia.

54 atau 48, ada satu lagi fakta yang harus diberi perhatian. Bukan bersifat parochial, tetapi rakyat Sabah dan Sarawak wajib bangun dan berjuang menentang hak mereka yang sudah lama dinafikan, hak mereka yang sedang rakus dirampas. Rakyat Sabah dan Sarawak wajib sedar yang jika kita membiarkan perkara ini berterusan, kita akan menjadi pendatang di bumi sendiri.

Selamat Hari Jadi Malaysia, semoga anak-anak muda, termasuk saya, lebih berani untuk ke depan.