October 13, 2011

Karate - Satu Ingatan

Sejak akhir-akhir ini singgah perasaan rindu saya kepada karate-do. Penglibatan saya terhenti di tali pinggang purple brown sahaja. Hanya beberapa tangga lagi untuk memegang black belt. Jangan terkejut kerana itulah reaksi sesetengah orang apabila saya memberitahu bahawa susuk tubuh badan yang kecil ini adalah seorang karatekas. Malah saya pernah mewakili sekolah sebanyak dua kali untuk pertandingan sparring. 

Saya mula berkecimpung dalam karate (shotokan) sejak Darjah 2 lagi. Saya berminat bukan kerana ingin mempelajari cara mempertahankan diri, tapi kerana seni yang terdapat di dalam setiap pergerakannya. Saya percaya walaupun kita memegang tali pinggang yang paling senior sekali pun, kalau musuh punya senjata yang lebih kuat, kita bakal tewas. Dalam karate inilah saya belajar untuk menghormati disiplin, persahabatan dan juga masa. Bayangkan, training di sekolah rendah ketika itu bermula jam 6 petang sedangkan waktu sekolah tamat jam 5.45 petang. Saya tidak balik kerumah sebaliknya saya segera menyarungkan karategi dan merehatkan diri sekadar dua tiga minit. Memang penat kerana pergi ke sekolah seawal jam 11 pagi dan balik rumah selewat jam 7.30 malam. 

Kami berlatih tidak mengira tempat - kantin sekolah, padang sekolah, basketball court dan juga jalan raya! Itupun berkaki ayam! Sudah lah kaki bermuscle, tidak ayu pula tu. Haha. Sepanjang mengikuti karate, saya tidak pernah mengalami kecederaan besar, hanya 'kecederaan' biasa di tapak kaki, dan 'kecederaan' sementara ketika mengikuti sparring. Saya ingat lagi semasa pemilihan untuk pertandingan sparring a.k.a kumite, saya telah ditipu oleh seorang kawan. Dia meminta saya untuk tidak menyerangnya kerana dia sedang sakit perut yang kuat. Kerana masih mentah ketika itu, saya hanya menurut dan tidak bersungguh-sungguh ketika berhadapan dengannya untuk dipilih ke pertandingan. Ya, dia menang dan terpilih. Saya pula dijadikan sebagai pemain simpanan kalau-kalau terjadi sesuatu kepadanya sebelum pertandingan. Sejak itu saya sedar kata-kata "trust no one" ada betulnya. Tahun seterusnya saya berjaya menyertai pertandingan. Walaupun tidak menang, tapi pengalaman menyertai sudah cukup bagus.

Apabila di sekolah menengah, saya jarang menyertai upgrading test kerana saya tidak bersetuju dengan cara sensei saya. Sensei terbaik saya ialah Sensei Patrick, beliau sudah meninggal dunia tapi apa yang diajarnya masih lekat dalam ingatan saya. Saya hanya aktif menyertai kawan-kawan melakukan demonstrasi untuk gema merdeka dan sebagainya. Itupun kerana saya ingin mengelak dari disuruh ikut kawad. Haha. Tapi ini pun memang pengalaman yang manis kerana saya bukan sahaja bergaul rapat dengan kawan sekarate tapi juga kawan-kawan dari silat dan taekwando. Kami akan berlatih bersama-sama, dan beramai-ramai. Saya paling respek dengan Abang Daud, dia memang pakar dalam martial arts. 

Training kami ni memang ala askar juga. Lari 20 pusingan memang aktiviti utama. Saya diantara yang paling belakang kerana saya cepat semput - salahkan asthma, bukannya tiada stamina. Haha. Dan setiap kali kami dijadualkan untuk membuat persembahan, mesti di kala matahari sedang panas melampau - memang azab buat kami kerana kami tidak boleh memakai kasut dan mattress yang kami gunakan memang menyerap haba. Kami terpaksa melompat-lompat dan berpura-pura tidak kepanasan. Saya awal-awal lagi sudah bersiap siaga dengan memakai bandage di tapak kaki, supaya kesan panas dapat dikurangkan. Kah kah kah.

Sebenarnya, rasa rindu ini pula menebal bila akhir-akhir ini di Tv ada menayangkan mengenai shorinji kempo, capoeira dan sebagainya. Saya betul-betul mengharapkan saya dapat memegang tali pinggang hitam karate-do dan mencuba seni lain pula. Puas rasanya bila kita sudah berjaya accomplish satu perkara. 

Saya datang dengan tangan kosong, tanpa senjata.
Jika saya terpaksa mempertahankan diri saya, maruah saya, keluarga saya atau pegangan saya, 
Inilah senjata saya, karate - tangan kosong!

September 23, 2011

Aku Penganggur

Saya masih lagi bergelar penganggur, atau bahasa positivismenya - freelancer. Sudah 4 bulan terdampar di rumah. Semakin hari semakin tekanan. Sebagai graduan yang tamat dengan keputusan yang boleh dikatakan cukup baik, tekanan itu saya kira lebih dari orang lain. Saya takut kalau ada yang memandang sinis dengan mengatakan bahawa saya memilih kerja, atau saya tidak punya communication skill yang bagus - itu yang sering ditulis di media tentang punca pengangguran di negara ini. Ataupun saya hanya bagus di kertas peperiksaan sahaja. Saya langsung tidak memilih kerja, malah saya ada memohon jawatan biasa yang tidak setimpal dengan lulusan saya. Itupun tidak berjaya. Jawapannya saya cukup bagus untuk jawatan itu. Mereka takut kalau saya mendapat offer yang lebih baik, saya akan berhenti. Dan akibatnya mereka terpaksa mengiklankan lagi, suatu yang harus dielak jika mereka mengambil kira kos. Saya juga pernah dipuji ketika interview kerana cara berkomunikasi saya.

Sedia maklum, jawatan kosong kerajaan juga telah dibekukan sehingga Ogos. Yang terbaru saya dengar ianya telah dilanjutkan lagi. Maka graduan-graduan di seluruh Malaysia terpaksa fokus kepada sektor swasta. Satu persaingan yang hebat di antara satu sama yang lain (fresh graduate) dan juga yang sudah mempunyai pengalaman bekerja bertahun-tahun. Memang ada jawatan kosong kerajaan, agensi dan GLC yang diiklankan, malangnya berdasarkan pemerhatian saya semuanya hanyalah kontrak. Saya tidak tahu kenapa, tapi seperti tanda kerajaan sudah kesuntukan wang. Bagi pencari kerja, ini sesuatu yang harus difikir-fikir kerana sudah tentu kami mahukan job security. Jika kontrak habis, tiada jaminan ianya akan disambung semula.

Betul lah, terlampau ramai graduan tetapi job market tiada. Ini sebenarnya punca pengangguran yang utama. Lebih-lebih lagi yang berada di tempat bukan tumpuan seperti di Sabah. Memang rasa kepayahan mencari kerja. Untuk berhijrah ke kotaraya (baca: Kuala Lumpur) peluang pun mungkin tipis kerana disana pun sudah ramai pencari kerja yang senasib. Kawan saya sendiri yang sedang berada di sana masih belum mendapat pekerjaan. Do not seek job, but create job. Atau bahasa mudahnya buat business. Macam mana kalau modal pun tiada. Kalau mau memohon dengan sebarang pinjaman, suatu yang harus difikir-fikir kerana pinjaman PTPTN pun belum lepas, inikan lagi pinjaman perniagaan. Memang suatu yang payah bila hidup kita ini bekerja untuk membayar hutang dan bil. Sebab itu last resort bagi pencari kerja adalah mencari cable atau orang dalam. Ada dua tiga kawan saya sudah berjaya mendapat kerja dengan cara ini walaupun sepertinya ada yang lebih baik dari mereka. Saya pernah bercakap dengan seorang kenalan mengenai ini dan dia berpesan supaya bersabar dan berusaha sendiri. Jangan sampai mengambil hak orang lain. Saya setuju, tapi ekonomi pencari kerja tidak boleh terus menunggu. Saya pun kalau boleh mahu mengelak dari last resort ini kerana dua kakak saya mendapat kerja yang bagus tanpa bantuan orang lain. Suatu yang memalukan kalau saya memecah tradisi ini. Tapi itu lah, saya berharap nasib saya akan bertambah baik, kalau tidak mungkin saya akan akur kepada Plan B atau Plan C.

Ya, semoga Tuhan mengurniakan rezeki kepada kita pencari kerja. Tolong doakan saya. Terima kasih.

p/s: Kalau ada yang mahu menawarkan kerja, boleh lah tinggalkan e-mail di ruangan komen. Nanti saya hantar resume. Confirm dapat kan? kah kah kah.