March 6, 2009

Sentiasa Bersama Anda


Bukan Digi yang ingin saya promosikan di sini. Bukan juga kereta yang sedang bergerak di atas jalan raya itu. Saya sebenarnya tertarik dengan slogan Digi iaitu "Sentiasa Bersama Anda". Iya, Digi akan sentiasa bersama anda apabila anda mempunyai kredit dan ada liputan. Sama jugalah dengan service providers yang lain. Tetapi dalam post kali ini, saya tidak ingin menyentuh mengenai mana-mana pengendali perkhidmatan. Saya ingin menulis tentang konteks yang lebih luas iaitu kawan. Menurut Kamus Pelajar, kawan adalah kumpulan binatang seperti kambing dan lembu. Kawan juga boleh didefinisikan sebagai sahabat, rakan dan teman. Selain itu, kawan bermaksud sesuatu yang dimakan dengan sesuatu sebagai pelengkap. Contohnya pinang dan gambir. Kawan juga ialah orang yang bersama-sama melakukan sesuatu.

Saya ingin menulis tentang definisi kawan yang kedua. Iya, kawan ialah sahabat, rakan dan teman kita. Kawan seharusnya sentiasa bersama-sama kita. Tidak kira kita ada kredit atau tidak, dan tidak kira sekiranya ada liputan atau tidak. Kawan harus bersama-sama dengan kita di waktu susah dan senang. Ada kawan yang hanya muncul ketika kita senang dan pergi apabila kita mendapat kesusahan. Namun, tidak dapat dinafikan, ada juga kawan yang mengerti kesusahan dan masalah yang dihadapi oleh kawannya yang lain. Kawan seperti inilah yang harus dipuji kerana mereka menghargai persahabatan yang dijalin.

Mempunyai satu sahabat yang sejati lebih bernilai dan berharga dari seribu kawan yang mementingkan diri sendiri. Benarlah bahawa ketika kita di dalam kejayaan, kawan-kawan mengenali kita tetapi di dalam kesengsaraan dan kesusahan, kita mengenal kawan-kawan kita. Di dalam persahabatan sering sahaja terjadi masalah, dugaan dan perselisihan faham tetapi persahabatan yang sejati pasti mampu mengatasi dugaan itu dan bangkit bersama kerananya. Kita harus sedar bahawa kita adalah manusia biasa. Kita mempunya kelebihan dan juga kekurangan. Begitu juga dengan kawan-kawan kita yang lain. Seharusnya kita memahami bahawa tidak ada orang yang sempurna dan kesilapan yang dilakukan oleh kawan kita itu wajarlah kita maafkan. Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyarankan agar kita memaafkan dan melupakan kesilapan orang lain. Sekiranya saya tidak silap, baginda juga menuntut agar kita mencari 144 sebab untuk marah. Dan jika ada berlaku perselisihan faham atau ada kekusutan, eloklah sekiranya kita selidik dahulu betul-betul apa yang berlaku. Mungkinkah bukan kawan kita itu yang bersalah, tetapi diri kita sendiri. Manusia sering sahaja melakukan kesilapan tanpa disedari. Sekiranya kita semberono sahaja tanpa usul periksa, sudah tentu natijah buruk yang akan kita terima. Kekusutan itu harus dileraikan, bukan ditambah lagi.

Kepada kawan-kawan, teman-teman dan sesiapa sahaja, disini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih yang amat kerana menjadi rakan yang baik. Saya betul-betul menghargai persahabatan kita. Tanpa anda, saya tidak akan mengenal erti kehidupan ini dengan lebih baik. Sekiranya saya ada melakukan kesilapan yang membuatkan anda terguris, saya sangat-sangat memohon maaf. Saya hanyalah manusia biasa yang tidak lepas dari membuat kesalahan. Apa-apapun, terima kasih sekali lagi kerana menceriakan hari-hari saya!

March 1, 2009

Quote of the Day II

A life spent making mistakes is not only more honorable, but more useful than a life spent doing nothing
- George Bernard Shaw
I speak to everyone in the same way, whether he is the garbage man or the president of the university
- Albert Einstein

February 22, 2009

Lagi, lagi dan lagi...

*sumber gambar: bharian.com.my

"Kenapalah anak saya dihukum sehingga meninggal dunia. Jika apa pun kesalahan dia, janganlah buat hukuman sendiri,"

Itu adalah kata-kata seorang bapa kepada pelajar Tingkatan Empat yang meninggal dunia selepas seminggu koma kerana dibelasah sekumpulan remaja. Mangsa dibelasah sekumpulan 24 orang lelaki yang dipercayai juga pelajar berikutan perebutan teman wanita. Mangsa dipukul teruk dengan besi dan topi keledar.

Kejadian yang berlaku ini amat menyedihkan. Sedih kerana anak-anak muda sekarang tidak tahu menghargai erti sebuah nyawa. Sedih kerana anak-anak muda sekarang lebih 'bersemangat' memperjuangkan cinta mereka dari masa depan mereka. Setahu saya, sudah banyak kali kes seperti ini dilaporkan oleh media massa. Kejadian seperti ini bukan sahaja berlaku di sekolah biasa, malahan di sekolah agama. Tetapi nampaknya seperti tidak ada solusi atau usaha untuk mengekang masalah seperti ini dari terus berleluasa. Apakah sebenarnya silap kita?

Hati dan perasaan menjadi panduan mereka dalam melakukan sesuatu tindakan. Mereka tidak lagi berlandaskan kepada agama. Mereka tidak lagi memikirkan rasional perbuatan mereka itu. Tidak lagi wujud istilah fikir dua kali di dalam hidup mereka. Yang penting, melepaskan kemarahan dan mungkin ingin menunjuk-nunjuk siapa yang lebih hebat. Saya tidak dapat bayangkan perasaan 24 orang remaja ini ketika memukul mangsa. Apakah mereka ini betul-betul rakus memukul sehingga tidak wujud perasaan bersalah? Apakah mereka ini pekak ketika mendengar rayuan dan permintaan mangsa agar dilepaskan? Sekalipun wujud perselisihan faham, mereka patut duduk berbincang dengan cara yang baik, bukannya dengan bertindak melulu. Saya berpendapat, kebodohan anak-anak muda sekarang sudah di tahap yang amat berbahaya sehingga mereka sanggup menggunakan kekerasan.

Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang soleh. Semoga mereka yang terlibat sedar akan kesilapan besar mereka dan segera bertaubat. Semoga anak-anak muda yang lain akan lebih tahu menghargai nyawa, lebih bersifat penyabar, lebih berfikiran waras dan lebih pandai dalam melakukan sesuatu.