June 4, 2012

Tanah Hujung

Sempat menumpang kasih di Tanah Hujung. Dengan watak utama dan bukan.

The Longest Journey Ever - Ya, memang panjang jalannya. Tapi sepertinya sampai di sini saja.

Hajat sudah lama disimpan, kerana blog ini benar-benar bagaikan tidak mau menerima entri baru. Biarpun ada idea untuk menulis. Biarpun. Barangkali tidak layak tulisan picisan ini!

Selamat buat semuanya, semoga Tanah Hujung tidak lah seperti namanya.

May 4, 2012

Buku Jalanan Kota Kinabalu


Buku Jalanan Kota Kinabalu, projek saya yang selamat dilancarkan pada Ahad, 29 April yang lepas. Bukan populariti atau nama yang saya cari, tapi harap-harap usaha saya ini boleh menarik minat orang ramai untuk membaca. 

Nanti akan menyusul projek yang kedua. Mudah-mudahan! :)

March 24, 2012

Grow Old

Tiada apa yang perlu dikatakan, hari jadi bagi saya memang satu perkara biasa. Tidak ada apa yang special. Cuma persekitaran kali ini betul-betul membuatkan saya rasa saya sudah semakin tua. Bukan 24, barangkali 42. Apa yang saya perhatikan, dalam kehidupan yang tidak stabil ini, semua orang terus mengejar dan mengejar. Sampai satu tahap akan ada yang rasa putus asa. Tapi macam mana sekalipun, kita kena bergerak biarpun perlahan. Dan ya, hanya yang bernasib baik akan dikejar.

Cukup lah kita dengan mempunyai kehidupan yang baik-baik, dan buat apa sahaja asalkan yang baik. Tidak perlulah kita riuh sekampung apabila ayam baru bertelur sebiji.

Kata Adam Sandler, "Oh it could be so nice, growing old with YOU".

January 27, 2012

January 17, 2012

2011

Seriously, tiap kali tiba penghujung tahun, mesti akan sayu hati dan melayan emosi yang jauh. Memang semua ini cuma tarikh, hari, bulan dan tahun. Tapi ini juga tanda umur sudah semakin tua. Kalau dulu semasa belajar apa yang ada dalam fikiran cuma habiskan belajar dengan keputusan yang cemerlang. Tapi sekarang ternyata fikiran itu jadi lebih luas. Kena fikirkan fasa-fasa yang seterusnya lagi. 

Tidak ada apa-apa yang extraordinary di tahun ini. Cumanya bergelar graduan dengan kelas pertama - itu sudah cukup baik buat saya. Tapi keadaan sebagai penganggur separuh masa (separuh masa kerana selebihnya mengajar sambilan) kadang-kadang memberi tekanan juga. Tidak apalah, saya pegang pada sesuatu - Tuhan ada aturkan rezeki kita, soalnya cuma cepat atau lambat. Kalau tidak dapat sesuatu pekerjaan, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. 

Tahun ini sudah ramai kawan yang menjadi tunangan dan suami/isteri orang. Yang dekat saya pergi, yang jauh saya hanya mampu mengirim doa. Kecewa bila tidak dapat menghadiri kerana keadaan kewangan yang tidak membenarkan. Yang lucunya bila dua cinta monyet saya di sekolah dahulu bertunang dan berkahwin pada hari yang sama. Haha. Semoga semua kawan saya ini bahagia sampai ke akhir hayat. Amin. 

Seingat-ingat saya, saya tidak pernah memasang azam untuk tahun baru. Tapi untuk hari esok dan 365 hari yang seterusnya (Tahun 2012 adalah tahun lompat, jadi mempunyai 366 hari), saya berazam untuk selesaikan hutang PTPTN dengan apa juga cara sekalipun. Maksudnya, saya akan bekerja lebih keras untuk mengumpul wang demi membayar hutang dan untuk masa depan. Memandangkan harga hartanah dan rumah semakin tinggi, wajib untuk kita menyediakan simpanan dari awal lagi.

Entri ini sebenarnya saya tulis dan simpan pada hujung tahun 2011 tapi kerana kekangan masa, baru hari ini saya dapat publish kan. Harap-harapnya tahun ini saya dan kita semua akan menjadi lebih baik.

December 11, 2011

Antara Pengajar & Pelajar

Alhamdulillah, masuk minggu ini sudah minggu ketiga saya mengajar secara sambilan di sekolah saya. Walaupun hanya sambilan, tapi tugas itu saya pegang dengan sebaik-baiknya. Kerja itu kan ibadah. Tanggungjawab sebagai guru juga berlainan jika dibandingkan dengan kerja pejabat. Guru harus memastikan anak muridnya faham akan apa yang disampaikan. Kalau tidak faham, mungkin guru itu sudah gagal. Kerja pejabat pula harus menyiapkan kerja-kerja dokumentasi dan sebagainya. Nah, beza kan?

Semuanya berjalan lancar, tapi dalam hati sentiasa ada perasaan takut kalau-kalau apa yang diajarkan itu salah. Hasilnya pelajar itu akan sesat sampai bila-bila. Makanya saya meminta mereka untuk turut memberi komitment sebagai pelajar. Jangan semata-mata harapkan guru. Kalau apa yang disampaikan itu salah atau tidak menarik, berikan pembuktian. Masing-masing akan belajar sesuatu darinya. Syukur mereka menerima ajaran saya dengan tenang hati, malah ada yang membuat saya terharu - setiap kali selesai kelas, mereka akan menyalam dan mencium tangan saya.

Pengajaran saya tidak hanya mengenai subjek ilmiah, tapi juga meliputi hal-hal kehidupan. Saya meminta mereka untuk add facebook saya, bagi memudahkan sebarang pertanyaan. Ternyata mereka tidak segan untuk bersembang dengan saya dan menanyakan pendapat tentang apa yang menjadi fikiran mereka selama ini. Hubungan kami bukan sahaja di antara pengajar dan pelajar, tetapi juga kakak dan adik, serta kawan.

Sungguhpun begitu menarik pengalaman saya, ini hanya lah sementara. Saya masih mencari pekerjaan yang tetap, pekerjaan yang membawa saya ke seberang sana. Itu janji saya. Soalnya cuma cepat atau lambat sahaja. Kalau tidak pun, pekerjaan sebagai home development executive juga saya terima. Haha. Usah risau ya?

November 29, 2011

Stalker

If you want to know anything about me, please ask me directly. Do not stalk me. 

Ok2, you can stalk me if you want. But then please do not ask your friends or your siblings to stalk me.

I still know it is you.

p.s Not applicable to boys. You can stalk me, you can even ask your friends or siblings to stalk me. 

Kah kah kah.

November 21, 2011

In Response To Syafiq Fadeli

Terima kasih Syafiq Fadeli atas soalan yang ditanya!

1. Saya senang dengan nama saya, dan tidak akan menukarnya.

2. Buat masa ini, tidak ada yang menjadi kegemaran. Tapi saya cukup hormat dengan pandangan Dato' Saifuddin Abdullah. Bagi saya, dia lain dari yang lain kerana ideanya buat masa ini sering menyebelahi kehendak sebenar rakyat.

3. Hitam. Saya bercita-cita untuk membeli Hummer. Haha.

4. Don't like either. Orlando Bloom is my favorite because he is hot. Haha.

5. Tidak ingat jalan mimpinya, tetapi ada satu ketika di mana saya seolah-olah dapat mengawal pergerakan saya.

6. Saya lebih ramai kawan lelaki dari perempuan. Secara jujurnya, hati mereka lebih senang dijaga. Tapi jantina tidak penting, kerana yang memainkan peranan adalah bagaimana mereka mempengaruhi kehidupan kita.

7. Tom Yam!

8. I don't like or hate any celebrity.

9. Baju dan seluar.

10. Dah tengok dah, 1st vlog lagi. Mesej ada, menarik, tapi nak bagi menarik lagi, letak unsur humor sikit dan lagu yang bersesuaian. Baru nampak tak mendatar.

November 19, 2011

Rehat

Ternyata sejak kebelakangan ini saya sudah jadi pasif dalam berfikir dan menulis. Semacam tiada hala tuju, blog ini juga semakin lama semakin kosong. Saya kagum dengan mereka yang walaupun jarang-jarang menulis tapi masih bisa menghasilkan tulisan yang hebat. Tidak seperti saya, yang agak payah mengetuk papan kekunci walaupun cuma sehuruf.

November 6, 2011

Hajj

Menurut tulisan Ali Shariati dalam bukunya Hajj, ibadah Haji bukan sekadar satu ritual tetapi mengandungi banyak makna dan tanda yang harus difahami. Antaranya adalah bagaimana kita menjadi 'Ibrahim' dan siapa atau apakah 'Ismail' kita... (Sharifah Nursyahidah, 2011).
 Selamat Hari Raya Aidil Adha kawan-kawan.

November 3, 2011

Wisuda

Usai sudah satu fasa, doakan saya untuk fasa-fasa kehidupan saya yang seterusnya.

October 13, 2011

Karate - Satu Ingatan

Sejak akhir-akhir ini singgah perasaan rindu saya kepada karate-do. Penglibatan saya terhenti di tali pinggang purple brown sahaja. Hanya beberapa tangga lagi untuk memegang black belt. Jangan terkejut kerana itulah reaksi sesetengah orang apabila saya memberitahu bahawa susuk tubuh badan yang kecil ini adalah seorang karatekas. Malah saya pernah mewakili sekolah sebanyak dua kali untuk pertandingan sparring. 

Saya mula berkecimpung dalam karate (shotokan) sejak Darjah 2 lagi. Saya berminat bukan kerana ingin mempelajari cara mempertahankan diri, tapi kerana seni yang terdapat di dalam setiap pergerakannya. Saya percaya walaupun kita memegang tali pinggang yang paling senior sekali pun, kalau musuh punya senjata yang lebih kuat, kita bakal tewas. Dalam karate inilah saya belajar untuk menghormati disiplin, persahabatan dan juga masa. Bayangkan, training di sekolah rendah ketika itu bermula jam 6 petang sedangkan waktu sekolah tamat jam 5.45 petang. Saya tidak balik kerumah sebaliknya saya segera menyarungkan karategi dan merehatkan diri sekadar dua tiga minit. Memang penat kerana pergi ke sekolah seawal jam 11 pagi dan balik rumah selewat jam 7.30 malam. 

Kami berlatih tidak mengira tempat - kantin sekolah, padang sekolah, basketball court dan juga jalan raya! Itupun berkaki ayam! Sudah lah kaki bermuscle, tidak ayu pula tu. Haha. Sepanjang mengikuti karate, saya tidak pernah mengalami kecederaan besar, hanya 'kecederaan' biasa di tapak kaki, dan 'kecederaan' sementara ketika mengikuti sparring. Saya ingat lagi semasa pemilihan untuk pertandingan sparring a.k.a kumite, saya telah ditipu oleh seorang kawan. Dia meminta saya untuk tidak menyerangnya kerana dia sedang sakit perut yang kuat. Kerana masih mentah ketika itu, saya hanya menurut dan tidak bersungguh-sungguh ketika berhadapan dengannya untuk dipilih ke pertandingan. Ya, dia menang dan terpilih. Saya pula dijadikan sebagai pemain simpanan kalau-kalau terjadi sesuatu kepadanya sebelum pertandingan. Sejak itu saya sedar kata-kata "trust no one" ada betulnya. Tahun seterusnya saya berjaya menyertai pertandingan. Walaupun tidak menang, tapi pengalaman menyertai sudah cukup bagus.

Apabila di sekolah menengah, saya jarang menyertai upgrading test kerana saya tidak bersetuju dengan cara sensei saya. Sensei terbaik saya ialah Sensei Patrick, beliau sudah meninggal dunia tapi apa yang diajarnya masih lekat dalam ingatan saya. Saya hanya aktif menyertai kawan-kawan melakukan demonstrasi untuk gema merdeka dan sebagainya. Itupun kerana saya ingin mengelak dari disuruh ikut kawad. Haha. Tapi ini pun memang pengalaman yang manis kerana saya bukan sahaja bergaul rapat dengan kawan sekarate tapi juga kawan-kawan dari silat dan taekwando. Kami akan berlatih bersama-sama, dan beramai-ramai. Saya paling respek dengan Abang Daud, dia memang pakar dalam martial arts. 

Training kami ni memang ala askar juga. Lari 20 pusingan memang aktiviti utama. Saya diantara yang paling belakang kerana saya cepat semput - salahkan asthma, bukannya tiada stamina. Haha. Dan setiap kali kami dijadualkan untuk membuat persembahan, mesti di kala matahari sedang panas melampau - memang azab buat kami kerana kami tidak boleh memakai kasut dan mattress yang kami gunakan memang menyerap haba. Kami terpaksa melompat-lompat dan berpura-pura tidak kepanasan. Saya awal-awal lagi sudah bersiap siaga dengan memakai bandage di tapak kaki, supaya kesan panas dapat dikurangkan. Kah kah kah.

Sebenarnya, rasa rindu ini pula menebal bila akhir-akhir ini di Tv ada menayangkan mengenai shorinji kempo, capoeira dan sebagainya. Saya betul-betul mengharapkan saya dapat memegang tali pinggang hitam karate-do dan mencuba seni lain pula. Puas rasanya bila kita sudah berjaya accomplish satu perkara. 

Saya datang dengan tangan kosong, tanpa senjata.
Jika saya terpaksa mempertahankan diri saya, maruah saya, keluarga saya atau pegangan saya, 
Inilah senjata saya, karate - tangan kosong!

September 23, 2011

Aku Penganggur

Saya masih lagi bergelar penganggur, atau bahasa positivismenya - freelancer. Sudah 4 bulan terdampar di rumah. Semakin hari semakin tekanan. Sebagai graduan yang tamat dengan keputusan yang boleh dikatakan cukup baik, tekanan itu saya kira lebih dari orang lain. Saya takut kalau ada yang memandang sinis dengan mengatakan bahawa saya memilih kerja, atau saya tidak punya communication skill yang bagus - itu yang sering ditulis di media tentang punca pengangguran di negara ini. Ataupun saya hanya bagus di kertas peperiksaan sahaja. Saya langsung tidak memilih kerja, malah saya ada memohon jawatan biasa yang tidak setimpal dengan lulusan saya. Itupun tidak berjaya. Jawapannya saya cukup bagus untuk jawatan itu. Mereka takut kalau saya mendapat offer yang lebih baik, saya akan berhenti. Dan akibatnya mereka terpaksa mengiklankan lagi, suatu yang harus dielak jika mereka mengambil kira kos. Saya juga pernah dipuji ketika interview kerana cara berkomunikasi saya.

Sedia maklum, jawatan kosong kerajaan juga telah dibekukan sehingga Ogos. Yang terbaru saya dengar ianya telah dilanjutkan lagi. Maka graduan-graduan di seluruh Malaysia terpaksa fokus kepada sektor swasta. Satu persaingan yang hebat di antara satu sama yang lain (fresh graduate) dan juga yang sudah mempunyai pengalaman bekerja bertahun-tahun. Memang ada jawatan kosong kerajaan, agensi dan GLC yang diiklankan, malangnya berdasarkan pemerhatian saya semuanya hanyalah kontrak. Saya tidak tahu kenapa, tapi seperti tanda kerajaan sudah kesuntukan wang. Bagi pencari kerja, ini sesuatu yang harus difikir-fikir kerana sudah tentu kami mahukan job security. Jika kontrak habis, tiada jaminan ianya akan disambung semula.

Betul lah, terlampau ramai graduan tetapi job market tiada. Ini sebenarnya punca pengangguran yang utama. Lebih-lebih lagi yang berada di tempat bukan tumpuan seperti di Sabah. Memang rasa kepayahan mencari kerja. Untuk berhijrah ke kotaraya (baca: Kuala Lumpur) peluang pun mungkin tipis kerana disana pun sudah ramai pencari kerja yang senasib. Kawan saya sendiri yang sedang berada di sana masih belum mendapat pekerjaan. Do not seek job, but create job. Atau bahasa mudahnya buat business. Macam mana kalau modal pun tiada. Kalau mau memohon dengan sebarang pinjaman, suatu yang harus difikir-fikir kerana pinjaman PTPTN pun belum lepas, inikan lagi pinjaman perniagaan. Memang suatu yang payah bila hidup kita ini bekerja untuk membayar hutang dan bil. Sebab itu last resort bagi pencari kerja adalah mencari cable atau orang dalam. Ada dua tiga kawan saya sudah berjaya mendapat kerja dengan cara ini walaupun sepertinya ada yang lebih baik dari mereka. Saya pernah bercakap dengan seorang kenalan mengenai ini dan dia berpesan supaya bersabar dan berusaha sendiri. Jangan sampai mengambil hak orang lain. Saya setuju, tapi ekonomi pencari kerja tidak boleh terus menunggu. Saya pun kalau boleh mahu mengelak dari last resort ini kerana dua kakak saya mendapat kerja yang bagus tanpa bantuan orang lain. Suatu yang memalukan kalau saya memecah tradisi ini. Tapi itu lah, saya berharap nasib saya akan bertambah baik, kalau tidak mungkin saya akan akur kepada Plan B atau Plan C.

Ya, semoga Tuhan mengurniakan rezeki kepada kita pencari kerja. Tolong doakan saya. Terima kasih.

p/s: Kalau ada yang mahu menawarkan kerja, boleh lah tinggalkan e-mail di ruangan komen. Nanti saya hantar resume. Confirm dapat kan? kah kah kah.

September 18, 2011

ISA- Optimistik dan Pesimistik

Bila saya membaca akhbar mengenai #NajibsAnnouncement yang akan disiarkan secara live, saya jadi teruja. Bukan teruja dengan apa yang akan disampaikan, tapi teruja dengan feedback dan komen yang bakal diberi oleh pihak tertentu - dari orang ramai, media, penganalis politik sehinggalah ahli politik itu sendiri. Ini kerana pandangan mereka ada yang bernas, tapi ada juga yang sekadar membodek. Waktu ini lah saya akan ketawa kah kah kah. Bayangkan, dahulu bila ada tentangan terhadap ISA, mereka mengatakan bahawa akta ini sangat relevan. Tapi bila akta ini diisytiharkan pemansuhannya, mereka juga lah yang mengatakan bahawa akta ini tidak lagi relevan. Cuma satu persoalan saya, adakah rancangan pemansuhan ini sudah dibahaskan di peringkat parlimen? Atau baru bakal dibincangkan? Kalau najib sudah memberi keputusan tanpa bawa isu ini ke parlimen - ini nampaknya satu tanda kepada kita.

Saya sudah dapat merasakan ada sesuatu yang besar harus dilakukan segera oleh najib jika mereka mahu terus mendapatkan kepercayaan dan persetujuan rakyat. Berdasarkan situasi sekarang yang tegang dengan isu pensejarahan dan komunis, tindakan memansuhkan ISA adalah satu langkah yang 'signifikan' bagi najib. Bagi saya, ini satu bentuk public relations untuk memenangi hati rakyat. Pasti ramai yang akan menganggap najib sebagai seorang pemimpin yang berani, pasti ramai yang akan salute kepada beliau. Ini kerana para perdana menteri yang terdahulu belum pernah berbuat sedemikian. Lalu najib akan dilihat sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang sanggup melakukan apa sahaja transformasi demi kepentingan negara. Nah, lihat saja, ada sudah yang menggelar beliau sebagai Bapa Transformasi. Beliau juga sudah turun ke Konsert Suara Kami untuk menunjukkan coolness beliau kepada anak-anak muda. Sebagai pengamal perhubungan awam, ini satu benda yang wajib. Tapi sebagai rakyat marhen seperti saya, imej yang positif akan datang dengan sendirinya kalau pemimpin benar-benar mementingkan rakyat. Ada baiknya kalau najib dan barisannya mencari solusi kepada masalah pengangguran anak-anak muda sekarang. Saya tidak menentang sebarang bentuk konsert (kecuali konsert Justin Bieber dan seumpamanya) kerana itulah cara manusia untuk berhibur, tapi kita semua harus maklum bahawa semakin banyak graduan yang keluar dari universiti, tapi hanya mampu duduk di rumah kerana tiada pekerjaan.

Najib juga ada memberitahu tentang dua akta baru bagi menggantikan ISA. Ada juga akta yang berkaitan dengan pengganas. Suatu yang malang jika akta baru ini sama sahaja modus operandinya dengan ISA cuma ditukarkan nama dan disedapkan bunyinya sahaja. Saya hairan kenapa sejak kebelakangan ini tv3 menyiarkan segmen esklusif tentang kejadian pengganas di Bali dan sebagainya. Saya ingatkan ulang tahun kepada peristiwa ini tapi saya silap. Ini sebenarnya satu langkah untuk mengolah persetujuan rakyat tentang bahayanya pengganas dan eureka! kerajaan telah berusaha melindungi rakyat dengan menampilkan akta baru. Satu lagi, perkataan 'pengganas' lebih dangerous bunyinya. Maka orang ramai wajib hati-hati dengan sesiapa yang ada potential untuk jadi 'pengganas' - ini yang mungkin sedang didoktrinkan oleh mereka. Sebagai pengamal body language, bahasa tubuh badan najib menunjukkan sesuatu yang aneh. Tapi sebagai rakyat marhaen seperti saya, bahasa tubuh badan tidak penting, yang penting action. Yang penting walk the talk. Kalau betul najib serius dengan agenda negara, silakan.

Ada yang melihat langkah najib untuk memansuhkan ISA ini kerana takut kalau-kalau beliau kalah dalam pilihanraya, nanti anwar pula akan menyumbat beliau terus ke kem tahanan. Saya bukan pro anwar mahupun anti najib, tapi saya kira anwar tidak akan sebodoh itu. Ini akan memberi bad image kepadanya. Anwar harus mengekalkan imej positif beliau ketika itu dan menggunakan konsep bicara. Dan kalau anwar menang, beliau sudah pasti akan bergembira duduk di kerusinya dan meneruskan agenda politiknya yang lain.

Apa-apapun analisa kita tentang pemansuhan ISA - sama ada optimistik ataupun pesimistik, ada satu tanda yang pasti, kita akan mengundi tidak lama lagi. 

Mohon pencerahan.

September 16, 2011

54 atau 48?

Malaysia tidak lahir pada tahun 1957, hanya Tanah Melayu sahaja yang merdeka ketika itu. Sabah dan Sarawak masing-masing mendapatkan kemerdekaan pada tahun 1963, dan selepas itu baru lah Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia pada 16 September 1963. Bagi saya, ini lah kemerdekaan yang sebenar bagi negara Malaysia.

54 atau 48, ada satu lagi fakta yang harus diberi perhatian. Bukan bersifat parochial, tetapi rakyat Sabah dan Sarawak wajib bangun dan berjuang menentang hak mereka yang sudah lama dinafikan, hak mereka yang sedang rakus dirampas. Rakyat Sabah dan Sarawak wajib sedar yang jika kita membiarkan perkara ini berterusan, kita akan menjadi pendatang di bumi sendiri.

Selamat Hari Jadi Malaysia, semoga anak-anak muda, termasuk saya, lebih berani untuk ke depan.

August 31, 2011

Die Gedanken Sind Frei

Merdeka?

Khalas!

Sejarah hanya ditulis oleh mereka yang menang, dan berkuasa



Die Gedanken Sind Frei, my thoughts freely flower
Die Gedanken Sind Frei, my thoughts give me power
No scholar can map them, no hunter can trap them

No man can deny, Die Gedanken Sind Frei

I think as I please and this gives me pleasure
My conscience decrees this right I must treasure
My thoughts will not cater to duke or dictator

And should tyrants take me and throw me to prison
My thoughts will burst free like blossoms in season
Foundations will crumble and structures will tumble

And free men will cry, Die Gedanken Sind Frei

August 29, 2011

Selamat Hari Raya

Kadang-kadang saya rasa ucapan selamat hari raya maaf zahir batin ni klise, hanya di bibir dan bukan dari hati. Tapi semuanya terpulang kepada orang yang mengucapkannya. Hari ini saya merendahkan diri dan merendahkan hati ingin memohon maaf kepada mana-mana orang perseorangan. Kalau boleh mahu saja saya jadi seperti Earl dalam cerita My Name Is Earl, yang berusaha redeem kesilapannya dengan berbuat baik kepada orang yang pernah disakitinya. Tapi saya tidak mampu melakukan perkara-perkara besar seperti Earl. Saya hanya mampu meminta maaf melalui kata-kata saya ini. Mungkin ada perbuatan saya yang membuatkan anda marah. Saya minta maaf, saya ini masih dalam proses mengenal hidup. Sering saja melakukan kesilapan.

Kalau ada pula yang ingat saya sakit hati dengan anda, jangan risau. Saya ini jenis yang bukan pemarah atau pendendam orangnya. Saya anggap semua itu macam angin yang berlalu sahaja. Masa itu juga lah saya maafkan anda, tiada simpan-simpan dalam hati. Sebagaimana saya kenal anda yang baik hati, itulah juga yang akan kekal sampai bila-bila. Pandangan saya terhadap anda tidak akan berubah sekalipun anda menjauh. Saya harap anda juga begitu. Terima kasih atas segalanya, selamat hari raya dan semoga amalan kita di Ramadhan diterima Tuhan.

Mudah-mudahan kita bertemu lagi

29 Ramadhan 1432h
4.07pm

August 26, 2011

Sungkai

Semalam saya dan beberapa orang kawan keluar bersungkai (baca:berbuka puasa) di luar. Tak sempat panggil semua orang kerana kesuntukan masa. Bila berkumpul ramai-ramai memang best, ditambah lagi dengan gaya dan karenah masing-masing. Sambil sambil kami mengenang cerita masa sekolah. Kami juga ke satu tempat wajib kami. Saya sempat menyanyi beberapa buah lagu, dan juga berduet. Macam biasa genre lagu pilihan memang universal - lagu rock kapak yang tidak boleh ketinggalan, kah kah kah.

Sebelum ke destinasi sungkai, saya berjumpa dengan seorang rakan yang mau membeli kamera Russian FED4 saya. Saya setuju untuk menjual walaupun pada mulanya saya tidak mahu. Tapi saya harus kerana saya mau menambah tabungan saya untuk membeli sesuatu. Jangan risau, minat saya pada lomography tidak pernah hilang. Saya masih menyimpan kamera holga - sepertimana janji saya untuk diserahkan kepada tuan sebenarnya kalau dia masih berminat.

Saya sebenarnya jarang menonton televisyen. Tapi ramai yang bercakap tentang Pompa Bensin. Google punya google, rupanya ini adalah sebuah band yang menyanyikan lagu OST untuk drama Ramadhan Terakhir di TV3. Boleh tahan lagu ni, susunan musik pun best. Boleh dibuat lagu untuk jamming (baca: karaoke) nanti. Haha. Apa-apapun, buat yang memandu, hati-hati ok. Kalau penat atau mengantuk, mintalah orang lain yang drive pula. Jaga jaga dengan blind spot. Pengalaman accident saya yang dulu kadang-kadang buat saya takut. Macam mana kalau disebabkan kelalaian saya, orang lain yang cedera atau terkorban. Kalau diri sendiri saja, tak apalah. Tapi kena fikir juga, nyawa itu berharga. So, take care!



Walau aku tidak bersamamu
Jangan engkau lupakan diriku
Walau aku tiada disisimu
Jangan engkau lupakan namaku

Kerana aku mengingatimu
Kerana aku mencintaimu

Andai aku bisa bertemumu
Dengan senyum ku tadah syukurku
Andai aku bisa menyentuhmu
Air mata pasti deras gugur

Kerana aku merinduimu
Kerana aku sentiasa menyintaimu oh sepenuh hati

Walau kamu jauh dimataku
Jangan aku hilang dalam kalbu
Saat kamu samar mengingati
Jangan aku terus kau lupakan

Kerana aku sentiasa mengingatimu
Kerana aku sentiasa menyayangimu oh sepenuh hati

Andai aku bisa memelukmu
Pasrah aku tabah diujimu
Andai aku bisa dicintai
Dengan rela menyerahkan hati

Kerana aku merinduimu
Kerana aku sentiasa menyintaimu

August 20, 2011

Iqro!

Baca al-Quran itu memang bagus, tapi lagi bagus kalau kita memahami isi kandungan kitab ini. Ayat al-Quran itu sendiri selain mempunyai maksud yang terang dan jelas, ada masanya memerlukan kita memahami dan menghayati maknanya yang tersirat. Tiada guna kalau kita bangga mengatakan bahwa kita sudah khatam al-Quran berkali-kali tapi kita langsung tidak tahu intipatinya!